Monday, December 8, 2014

20 minit Pertama Setiap hari



Menurut John Meyer, pengasas dan CEO Lemonly, saat terpenting setiap hari adalah 20 MINIT YANG PERTAMA setiap hari.

Apa yang dimaksudkan dengan 20 minit pertama ini adalah, anda memberikan waktu selama 20 minit pada setiap pagi untuk merancang matlamat dan apa yang ingin anda capai pada hari ini.

John mengatakan bahawa, 20 minit pertama ini bukanlah untuk kita menulis matlamat hidup kita atau tulis business plan yang panjang berjela-jela. Ia bertujuan untuk menyusun atur tugasan-tugasan yang perlu diselesaikan pada hari ini mengikut mana yang lebih penting dan harus didahulukan.

Usahawan perlu tahu bahawa perkara yang paling mahal dalam kehidupan seorang usahawan adalah MASA. Oleh sebab itu sebagai usahawan, adalah amat penting untuk mengatur masa dengan baik. Elakkan daripada membuang masa pada benda-benda yang tidak membantu dalam meningkatkan perniagaan kita.

Seringkali kita dengar keluhan mengatakan tidak mempunyai masa yang cukup sedangkan semua orang diberikan masa yang sama iaitu 24 jam. Kalaulah masa selama 2 jam yang kita luangkan untuk menonton rancangan televisyen, 2 jam yang kita gunakan untuk melayan facebook, kita luangkan untuk memikirkan bagaimana untuk meningkatkan lagi perniagaan kita...tentu tidak akan ada istilah tidak mempunyai masa yang cukup. 

Oleh itu, sebagai usahawan kita harus tahu bagaimana untuk mengatur MASA kita sebijak mungkin. Berikan masa dan waktu anda kepada perkara yang benar-benar penting dan pada orang-orang yang bermanfaat di dalam hidup anda.

Dalam penulisan John Meyer, beliau mengajar kita tentang apa yang perlu kita lakukan pada 20 minit pertama setiap hari. Ia harus menjadi habit kita yang berterusan agar masa kita tidak terbuang begitu sahaja. John menamakan aktiviti ini sebagai "8 for a day"

Proses tersebut adalah seperti berikut:

1. Tuliskan 8 perkara yang anda ingin capai pada hari tersebut. John berkata sekiranya kita tidak dapat mencapai 8 perkara tersebut dalam 8 jam, bermaksud ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin kita tidak fokus pada perkara tersebut 100%.

2. 8 perkara tersebut boleh dibahagikan kepada 6 perkara adalah matlamat professional manakala 2 adalah matlamat peribadi. Matlamat peribadi boleh menjadi apa saja yang kita mahukan dalam kehidupan peribadi kita. Sebagai contoh, temujanji makan tengahari bersama isteri ataupu suami.

3. Pada esok harinya, kita lihat semula matlamat yang telah kita capai pada hari kelmarin. Sekiranya ada perkara yang tidak tercapai, kaji semula di mana silap kita dan bagaimana untuk memperbaikinya. Kemudian kita tulis semula 8 perkara yang baru, yang ingin kita capai pada hari ini.

4. Pada hari Sabtu, 8 perkara tersebut akan bertukar pula. 6 perkara melibatkan kehidupan peribadi dan hanya 2 matlamat professional. Kita harus ingat ikatan kekeluargaan juga penting untuk kita jaga dan pelihara sebaik mungkin. Dua perkara professional tidak semestinya menulis rangka perniagaan. Membayar bil letrik pejabat juga boleh dijadikan matlamat perofessional yang ringkas dan mudah pada hari Sabtu.

5. Pada hari Ahad, adalah hari rehat di mana tiada "8 for a day". John berkata, hari Ahad adalah hari untuk beliau berehat dan hari tanpa to-do list.


Memberikan waktu 20 minit setiap hari adalah sesuatu yang berguna dan sangat memainkan peranan di dalam kehidupan professional mahupun peribadi. Walau bagaimanapun ini tidak bermaksud, hanya 8 perkara tersebut yang harus diselesaikan pada satu hari. Sekiranya kita fokus sepenuhnya kita mampu mencapai lebih dari 8 perkara.


 Menulis 8 matlamat setiap hari adalah penting agar kita tidak terkial-kial dan di dalam delima dalam menyelesaikan tugasan yang mana yang harus diselesaikan dahulu sedangkan semuanya nampak sama penting dan sama urgent. Dengan cara ini, kerja kita akan lebih tersusun dan sistematik.

Oleh itu, jom mulakan 8 for a day kita hari ini.

Semoga entri ini bermanfaat untuk anda.

Salam sayang,
Evelina Avilla
010-5347375


No comments:

Post a Comment